Wednesday, July 6, 2011

Kesihatan I Awas..!! Jangan Mengadap Komputer Lebih 5 Jam Sehari

Kali ini sebuah portal menyiarkan dapatan kajian yang mendakwa seseorang yang menghabiskan waktu lebih daripada 5 jam sehari di depan komputer akan mengadapi masalah jantung dan menyebabkan mereka mati lebih awal.

Punca utamanyanya ialah posisi duduk, terutamanya duduk bersandar, yang merupakan posisi umum ketika seseorang sedang bekerja menghadap komputer, bermain permainan video/komputer, ataupun ketika menonton televisyen.

Kajian tersebut dijalankan oleh Emmanuel Stamatakis dari University College London, Britain. Beliau melakukan penelitian terhadap lebih daripada 4.500 orang respondan yang berusia 35 tahun ke atas dan hasilnya diterbitkankan di Journal of the American College of Cardiology. Kajian ini menambah bukti-bukti yang terus terkumpul berkaitan risiko dan bahaya duduk dalam jangka masa yang lama.

Positifkan negatif

Kesedihan adalah subjek negatif yang positif. Musim demi musim datang dan pergi. Kita sedang menunggu kematian untuk kita dan sekeliling kita. Kita tidak suka sebenarnya. Tidak suka kerana itu bab kehilangan. Kehilangan akan menyebabkan kesedihan. Kesedihan kerana ada rasa kasih dalam diri yang disemai sejak lama. Itu fitrah manusia.

Apapun subjek sedih itu perlu kita positifkan walau ianya akan bermain diingatan untuk satu tempoh yang lama. Ianya mungkin kekal tinggal diam di benak kita yang paling dalam.

Proses kemanusiaan memang adil sebenarnya, kerana hikayat manusia itu memang sementara sifat dan perjalanannya.

Apabila kita merasakan sesuatu yang kita sayang dan berharga itu milik kita, ianya akan menjadi sebuah permasalahan yang halal. Halal kerana perhubungan kasih yang disemai sejak lama, seperti kita menjaga anak-anak kita dengan penuh kasih sayang dan belaian. Apabila ada interaksi dua hala yang subur antara kita dan mereka contohnya, sudah tentu akan hadir sebuah perhubungan yang suci lagi telus yang menjadi tali ikatan yang kukuh tertanam menjadi sebahagian hidup dan nadi kita.

Atau contoh lain ibu kita. Ibu yang melahirkan kita ke dunia ini. Kita dibelai dengan penuh kasih sejak dari dalam kandungan lagi. Bagaimana kita dapat menafikan tali kasih itu kerana tali perhubungan itu sudah hadir sejak kita masih di alam kandungan lagi?

Sekeras manapun kita, saya percaya semua kita pasti adamasanya menangis juga.

Kasih sayang antara manusia adalah bersifat kalkulatif. Kita didik anak kita dengan penuh kasih sayang dengan harapan bila mereka dewasa nanti kita tidak akan dilupakan, namun yang paling baik, menghargai itu bagi saya lebih membahagiakan dari kita mengharap sesuatu balasan yang mana mungkin kita akan kecewa jika apa yang kita harapkan menjadii begini, sudahnya menjadi begitu?

Seorang sahabat saya pernah mengakui yang dia masih kalkulatif dengan Tuhan dan hidup ini. Dia masih mengharap yang baik-baik saja dalam hidupnya. Saya katakan padanya mungkin tahap ikhlasnya melebihi apa yang saya ada, kerana walaupun saya bercerita tentang sesuatu yang telus dan ikhlas, saya pun seperti dia juga, kalkulatif dengan kehidupan ini? Ha ha ha

Hari ini saya sedang menghadapi babak yang sedih dalam hidup. Babak yang mungkin biasa bagi mereka yang sudah terbiasa dengan subjek kehilangan umpamanya di negara-negara yang dilanda peperangan di mana nyawa hanyalah umpama sehelai kertas yang melayang dibawa angin lalu. Kita yang di sini yang masih mengagungkan makna kehidupan lantas menghargainya sebagai sesuatu yang hebat, agak janggal apabila bercerita tentang subjek kematian.

Apapun kita tidak punya pilihan selain dari belajar untuk menghargai dan menghadapinya dengan jiwa yang tenang. Esok akan datang, lusa juga begitu. Begitulah ceritanya sehinggalah tiba detik untuk kita pergi. Innalillah.

Tuesday, November 16, 2010

Payahnya bila atap nak jadi tiang, tiang nak jadi dinding, dan dinding nak jadi tangga

Ada satu cerita rakyat zaman dahulu kala, dalam nada simbolik membawa kisah bagaimana perkakas dalam sebuah rumah saling melihat bebanan yang ditanggung olehnya, dan merasakan bahawa yang lain tidak seteruknya. Kisah bermula bilamana atap merasa dialah yang paling berat menanggung bebanan berbanding yang lain, dia terpaksa menahan hujan, panas, dia terpaksa berjemur ditengah-tengah panas, peritnya tak terkira, demikian juga bila hujan turun, dialah yang terpaksa berhadapan dengan hujan rebut ini. Perasaan kecewa dan sedih bertambah bilamana atap tengok tiang yang dirasakan lebih rehat dari dia, tak kena panas dan tak kena hujan, lalu ia merungut:

“Sedapnya jadi tiang, tak kena jemur di terik panas mentari, dan tak payah susah payah menahan hujan ribut, alangkah seronoknya kalau boleh jadi tiang”.

Mendengarkan kata-kata atap, lalu tiang menjawab:

“Kamu tak tahu betapa setiap saat aku terpaksa memikul bebanan beratnya atap, kayu alang dan kayu lain yang berat di atas bahu aku. Engkau atap, lebih senang, tak payah pikul bebanan berat macam aku,” rungut tiang.

Kata tiang terkadang aku cemburu tengok dinding, dia tak kena panas, dan tak kena pikul bebanan berat macam kita. Sedang mereka berbual, rupanya dinding mendengar, lalu menyampuk:

“Jangan kamu fikir yang panas dan berat saja. Aku lagi susah, nak kena jaga keliling rumah ni, aku kena lindung semua isi rumah, akulah benteng menutupi aib dalam rumah, akulah penyimpan rahsia mereka, tapi aku jugak kena ketuk bilamana nak tampal, nak sangkut apa-apa. Sebenarnya aku rasa yang senang, bukan aku, tapi tangga.”

Mendengar kata-kata dinding itu, tiba-tiba tangga pun mengeluh:

“Kamu jangan tengok hujan panas, bebanan saja. Tapi aku rasa aku nilah yang paling berat antara semua perkakas rumah ni. Aku terpaksa kena hujan panas, aku terpaksa pikul babanan orang pijak aku bila nak naik, bila nak turun, dan lebih malang lagi mereka pijak aku dengan kekotoran yang mereka bawa. Tapi bagi aku kalau ini yang telah ditakdirkan aku redha, biarlah aku berkhidmat semampu aku, sebelum semua kita rebah menyembah bumi semuanya.”

Pengajaran dari kisah tersebut ialah jangan kita hanya nampak susah kita, tapi tak pernah fikir susah orang lain, dan yang lebih penting jangan kita nak jadi benda lain. Kita harus jadi kita, kerana itulah amanah yang diberi kepada kita. Payahnya bilamana atap nak jadi tiang, tiang pulak nak jadi dinding dan dinding pulak nak jadi tangga

facebook